Tuesday, October 3, 2017

F1 Malaysia ke tahap baru

BERMULA dengan penubuhan Proton pada 1985 dan Perodua pada 1993, sektor automotif negara terus melakar perkembangan yang membanggakan di peringkat antarabangsa.
Malaysia mencipta sejarah sebagai satu-satunya negara membangun yang mempunyai kemampuan kejuruteraan dan reka bentuk automotif sendiri.

Belum pun sedekad perkembangan industri itu di negara ini, iaitu dalam usia yang masih setahun jagung, Malaysia mencatat sejarah apabila terbabit secara langsung dalam sukan lumba kereta paling berprestij iaitu Perlumbaan Formula Satu (F1).

Ia dicapai hasil kerjasama dan penglibatan secara serius syarikat minyak dan gas negara iaitu Petronas dalam perlumbaan F1 dengan pasukan Sauber Engineering Switzerland (Sauber) pada 1995.
Sejak itu, perlumbaan F1 dan Malaysia bukan lagi sesuatu yang asing. Malaysia menjadi negara ASEAN pertama yang memiliki litar F1 sendiri iaitu Litar Antarabangsa Sepang yang buat pertama kalinya menganjurkan Kejohanan Formula One Dunia bagi musim ke-50 pada Oktober 1999.Malaysia juga pernah melahirkan pelumba F1 tempatan iaitu Alex Yoong yang berlumba untuk pasukan Minardi selain barisan pelumba pelapis seperti Fairoz Fauzi yang mencipta nama dalam sukan permotoran F3.


Penglibatan berterusan Malaysia dalam perlumbaan F1 pernah beberapa kali membawa kepada hasrat untuk menyaksikan sebuah pasukan F1 yang menggunakan kepakaran tempatan sepenuhnya.
Keyakinan itu juga berlandaskan kepada kejayaan kumpulan pertama jurutera tempatan Petronas menghasilkan enjin komersial prototaip Petronas E01.

Enjin ini dilahirkan melalui Sauber Petronas Engineering AG (SPE) yang ditubuhkan khusus untuk memajukan keupayaan teknikal dalam arena F1 dan kejuruteraan automotif komersial pasukan F1 Petronas-Sauber Red Bull pada 30 Mac 1996.

Ia dibangunkan dalam tempoh 16 bulan oleh sepasukan 15 jurutera Petronas daripada tiga kumpulan iaitu Reka Bentuk Bantuan Komputer (CAD), Kejuruteraan Bantuan Komputer (CAE) dan Pembangunan.
Itu adalah cerita 10 tahun yang lalu. Dengan perkembangan pesat teknologi kejuruteraan automotif negara, serta perpindahan teknologi hasil pelaburan Petronas, Malaysia hari ini mempunyai pasukan jurutera dan pereka automotif tempatan yang berkaliber. Malah, kita juga tidak kurang dengan pekerja-pekerja mahir yang setanding dengan syarikat pengeluar kenderaan terkemuka lain di dunia.

Justeru apabila Malaysia menerusi pasukan F1-1Malaysia menjadi pasukan ke-13 dalam F1, ia ibarat impian menjadi kenyataan.
Selepas kejayaan demi kejayaan dilakarkan oleh industri automotif negara, sewajarnya prestij sebagai pasukan F1 itu menjadi standard terbaru kepada keupayaan kejuruteraan dan reka bentuk automotif nasional.

Ia seolah-olah membawa industri automotif negara melangkah setapak lagi ke peringkat yang lebih tinggi dan semestinya disegani. Keyakinan itu sendiri membayangkan kepada dunia bahawa Malaysia mempunyai kemampuan dari segenap sudut untuk menjadi pesaing di litar lumba motor paling berprestij tersebut.
Dari satu sisi, ia membuka mata pemain di dalam industri automotif antarabangsa terhadap kepakaran kejuruteraan dan reka bentuk yang dimiliki negara.

Aspek pengembangan jenama seperti ini pastinya memberi banyak kelebihan kepada industri automotif negara termasuk membuka lebih banyak peluang pelaburan dalam bidang berkaitan.
Bagi pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Hamdan Ahmad keputusan kerajaan itu merupakan langkah berani dalam melonjakkan industri automotif tempatan. Sebagai pesaing baru dalam arena sukan tersebut, Malaysia menurut beliau, masih terlalu jauh untuk menandingi pasukan-pasukan F1 lain. Namun kesungguhan kerajaan menubuhkan pasukan F1 tempatan pertama itu menjadi langkah pertama untuk Malaysia turut muncul sebagai pasukan yang hebat satu hari nanti.

''Dari sudut kelengkapan seperti litar perlumbaan, kejuruteraan, kepakaran malah sehingga kepada pelumba, kita sudah ada. Jadi dengan sedikit masa, tidak mustahil pasukan F1 tempatan kita mampu mengharumkan nama negara," katanya.

Beliau menambah, pembabitan secara serius negara dalam sukan berprestij ini turut memberi peluang kepada syarikat tempatan mengembangkan jenama dengan lebih meluas. Kerjasama menerusi penajaan itu secara tidak langsung memberi pulangan yang besar kepada syarikat tersebut dalam jangka masa panjang.
Sesuatu yang pasti, keberanian kerajaan untuk menubuhkan pasukan F1 tempatan ini akan mencetus kepada lebih banyak revolusi dalam industri automotif negara pada masa-masa akan datang.

Tinggal sejauh mana lagi seluruh rakyat Malaysia memberi sokongan kepada usaha besar ini dalam mengangkat imej dan nama negara di persada dunia.

Rujukan Utusan Malaysia.

No comments:

Post a Comment