Falsafah sains dan teknologi Islam
Sains berasal daripada perkataan Latin
scientia atau
‘ilm
dalam bahasa Arab yang bermaksud ilmu. Sains merupakan cabang ilmu yang
mengkaji sekumpulan pernyataan yang terbukti dengan fakta-fakta hasil
tinjauan, cerapan dan susunan yang teratur dalam bentuk hukum-hakam.
Sementara teknologi berasal dari perkataan Latin,
tekne yang bermaksud kemahiran atau
craft iaitu kemahiran manusia yang diperoleh melalui pengetahuan dan kelaziman.
Dalam falsafah ilmu Islam, ilmu yang sebenarnya ialah ilmu yang mampu
membimbing manusia mengenali dan mendekati Allah s.w.t. Oleh itu, sains
dan teknologi perlu dimanfaatkan dengan pelbagai cara untuk mencapai
matlamat tersebut. Contohnya, menggunakan sains dan teknologi untuk
kebaikan manusia sebagai satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah
s.w.t.
Falsafah ilmu dalam Islam sangat berbeza daripada falsafah ilmu
menurut kefahaman sekularisme. Dalam Islam, ilmu dibimbing oleh wahyu
dan berpegang kepada prinsip Allah s.w.t., sementara ilmu dalam
pemikiran Barat bertunjangkan falsafah yang lebih terbuka dan tidak
terikat dengan nilai-nilai agama.
Ciri-ciri sains dan teknologi Islam
Antara ciri-ciri sains dan teknologi Islam ialah seperti berikut:
1. Berteraskan prinsip tauhid
Seluruh alam semesta termasuk makhluk
manusia adalah ciptaan Allah s.w.t. Kewujudan alam semesta termasuk
proses sebab-musabab dan segala fenomena yang berlaku daripada
sekecil-kecil sehingga sebesar-besarnya ditentukan oleh Allah s.w.t.
sebagai tanda kebesaran dan keagungan-Nya.
2. Integrasi antara ilmu akal dan ilmu naqal (Wahyu)
Pencapaian sains dan teknologi adalah pencapaian minda yang dikenali al-ulum al-aqliyyah (ilmu akal). Namun ulum al-aqliyyah perlu diintegrasikan atau digabungkan dengan ulum al-naqliyyah
(ilmu wahyu). Contohnya, Islam menggalakkan penerokaan alam semesta
dengan sains dan teknologi, namun tujuannya adalah untuk mengenali
kebesaran dan keagungan Allah s.w.t.
3. Alam sebagai pembawa mesej
Dalam sains Islam, alam semesta dan
fenomena tabii merupakan Kitab Allah yang mengandungi dan merakamkan
pelbagai mesej, rahsia dan ilmu yang disampaikan oleh Allah s.w.t.
kepada manusia untuk berfikir dan merenung tentang kejadian ciptaan
Allah s.w.t. yang sungguh hebat. Alam nyata ini tidak wujud sendiri
tanpa Penciptanya, iaitu Allah s.w.t. Sifat tabii bukanlah sesuatu yang
bersifat semula jadi, kebetulan, tidak sengaja dan tidak ditentukan oleh
keadaan dan kehendak alam. Sebaliknya, segala kejadian adalah tertakluk
kepada kehendak dan kekuasaan-Nya.
4. Kebenaran hakiki adalah kebenaran wahyu
Menurut Islam, segala pencapaian sains dan teknologi tidak bermakna jika kebenaran mutlak (absolute truth)
dinafikan. Kebenaran berasaskan pengetahuan empirik (ilmu sains dan
teknologi) harus menerima hakikat kebenaran metafizik iaitu tentang
kebenaran wujudnya Allah s.w.t.
5. Sains dan teknologi mengukuhkan keimanan
Sains Islam penuh nilai keberkatan ilmu (blessing), kebijaksanaan (wisdom), ketajaman daya faham (tafaqquh) dan kebenaran (al-haqq).
Pencapaian sains dan teknologi adalah anugerah ilmu yang mempunyai
pelbagai maklumat untuk menyakinkan manusia dengan bukti bahawa Allah
s.w.t. adalah Pencipta, Pendidik dan Pemelihara alam semesta ini.
Evolusi sains dan sumbangan kepada tamadun manusia
Evolusi sains iaitu perkembangan sains adalah satu topik yang sangat
menarik kerana anda berpeluang memahami perkembangan sains secara
ilmiah. Pada umumnya, evolusi sains telah melalui beberapa tahap dari
segi sejarah sains iaitu Sains Yunani, Sains Islam dan Sains Barat
Moden.
Tahukah anda bahawa sains moden yang berkembang pesat di Barat sejak
abad ke-17 dikatakan berasal daripada tamadun Yunani kuno. Tamadun
Yunani muncul hasil interaksi budaya Mesopotamia, Babylon dan Mesir
kuno. Asas falsafah Sains Tamadun Yunani ialah kebendaan atau dikenali
sebagai
materialisme. Namun begitu, perkembangan sains dalam
tamadun Islam yang berlaku sejak abad ke-8 Masihi sehingga abad ke-15
Masihi adalah berpaksikan agama sebagai dasar falsafah sainsnya.
Kekuatan rohani dan material yang ada pada Islam telah menyebabkan sains
Islam mencapai tahap kecemerlangan sains yang sangat tinggi.
Dalam konteks tamadun Islam, anda boleh saksikan bahawa sains Islam
telah mencapai perkembangan yang pesat dan banyak menyumbang ke arah
kemajuan tamadun manusia dalam pelbagai bidang. Malah al-Qur’an yang
merupakan sumber utama tamadun Islam banyak mengandungi
maklumat-maklumat tentang kajian sains yang telah membantu para
cendekiawan Islam untuk mengembangkan kajian bidang sains. Terdapat
lebih kurang 756 ayat al-Qur’an, iaitu satu perlapan daripada
keseluruhan al-Qur’an yang menyeru manusia mengkaji dan meneliti
tanda-tanda kebesaran Allah s.w.t. yang wujud dalam alam tabii.
Ayat-ayat inilah yang menjadi pendorong kepada saintis Islam lampau
untuk meneroka dan mengkaji pelbagai bidang ilmu yang telah memberi
sumbangan besar kepada tamadun manusia seluruhnya. Bincangkan.
rujukan dari pengajianislam.pressbooks