www.3ds.com
Firma terkemuka Perancis jalin kejasama dengan syarikat tempatan Feiran Technology
DASSAULT Systemes SA, peneraju global bagi perisian Produk
Pengurusan Kitaran Hidup (PLM) dan 3D dari Perancis akan menjadikan
negara ini pusat pengembangan perniagaannya di peringkat Asia Tenggara.
Firma berpangkalan di Velizy-Villacoublay, Perancis itu mempunyai
kepakaran selama 30 tahun dalam menghasilkan perisian 3D bagi kegunaan
industri, khususnya dalam bidang berdaya maju tinggi seperti
kejuruteraan, aeroangkasa, automotif, sains hayat, perkapalan,
perkhidmatan dan pembinaan.
Anak syarikat konglomerat terkemuka Perancis, Dassault Group itu disenaraikan di pasaran saham Euronext Paris.
Pengurus Besar Asia Pasifik Selatannya, Samson Khaou, berkata
pemilihan Malaysia sebagai pusat serantau syarikat di Asia Tenggara
adalah berikutan kedudukan kukuh perniagaannya di negara ini menerusi
pembabitan dengan projek permulaan (EPP) di bawah Program Transformasi
Ekonomi (ETP).
"Kita memang berhasrat berkembang kukuh di Asia Tenggara dan
Malaysia adalah pelantar terbaik bagi tujuan itu," katanya ketika
ditemui Berita Harian di Shah Alam, baru-baru ini.
Khaou bagaimanapun tidak memberikan tempoh rancangan itu akan
dimuktamadkan namun membayangkan untuk meneroka peluang di negara
serantau menerusi operasinya yang ada di negara ini.
April lalu, Dassault Systemes memeterai kerjasama strategik
bersama Strand Aerospace Malaysia Sdn Bhd (SAM) di bawah EPP
perkhidmatan perniagaan.
Kerjasama itu adalah bagi membangunkan penyelesaian teknologi
berasaskan perisian yang dijasilkan oleh Dassault Systemes serta
pengalaman luas SAM dalam teknologi persijilan struktur kapal terbang.
Dassault Systemes memilih syarikat tempatan, Feiran Technology Sdn Bhd sebagai rakan teknologinya di negara ini.
Minggu lalu, Dassault Systemes memeterai memorandum persefahaman
(MoU) bersama agensi Jabatan Perdana Menteri, MIGHT-METEOR Advanced
Manufacturing (MMAM) bagi meneroka aplikasi latihan maya bagi
pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan.
Mengulas lanjut kerjasama bersama MMAM, Khaou berkata Dassault
Systemes yakin pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi mapan dapat
dihasilkan menerusi bantuan teknologi syarikat itu.
"Syarikat berbesar hati dapat menyokong membangunkan kelebihan
untuk Malaysia di tengah-tengah persaingan sengit industri kejuruteraan
global untuk masa kini dan akan datang," katanya.
Di bawah kerjasama itu, Dassault Systemes akan membangunkan
aplikasi latihan maya, yang turut dikenali sebagai aplikasi permainan
masa sebenar yang disasar kepada industri tertentu di Malaysia antaranya
aeroangkasa serta minyak dan gas.
MMAM akan menggunakan aplikasi berasaskan permainan maya itu
kepada program Latihan Pembangunan Tenaga Kerjanya dengan memanfaatkan
teknolohi 3DVIA yang dibangunkan oleh Dassault Systemes.
Dassault Systemes akan bekerjasama dengan Feiran Technology untuk
mengenal pasti mana-mana syarikat yang berminat menggunakan teknologi
3DVIA berkenaan serta mempromosikannya di peringkat domestik serta
antarabangsa.
Rujukan : bharian.com.my