Thursday, August 26, 2010

Proton Akan Komersilkan Produk Penyelidikan Yang Dimajukan UTM





Berita
 
KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Proton Holdings Bhd dijangka mengkomersilkan produk penyelidikan pertama yang dibangunkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi syarikat pembuat kereta negara itu pada separuh kedua tahun depan.
Kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman (MoU) Selasa berhubung program "professorship" di mana UTM akan mengambil seorang profesor sepenuh masa bagi membantu Proton dalam mengukuhkan keupayaan penyelidikannya.
Inisiatif ini akan memacukan lagi usaha-usaha dalam pembangunan harta intelektual dalam bentuk paten, hakcipta dan reka bentuk perindustrian.
Pengarah urusan kumpulan Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata di bawah perjanjian itu, UTM akan bertanggungjawab menghasilkan 40 harta intelektual untuk Proton, mulai tahun ini sehingga 2013.
"Kami telah memulakan penyelidikan beberapa bulan lepas.
Terdapat beberapa kajian, contohnya, pembangunan untuk panel suria/solar bumbung dan bagaimana untuk mengurangkan suhu kabin," kata beliau kepada pemberita selepas memeterai MoU.
Syed Zainal Abidin berkata Proton berharap dapat mengukuhkan lagi daya saing dan kedudukannya sebagai syarikat automotif menerusi kerjasama serta membangunkan modal insan berkualiti bagi memacu Malaysia ke hadapan sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.
Bagi inisiatif berkenaan, Proton akan menyumbang RM500,000 dan UTM akan menyediakan RM1 juta untuk tahun pertama, kata beliau.
Profesor Mohd Azman Zainul Abidin, yang dipertanggungjawab untuk mengetuai kajian penyelidikan berkata, program itu yang bermula lima bulan lepas bukanlah untuk menghasilkan kereta baharu tetapi untuk meningkatkan kereta-kereta Proton dengan teknologi yang lebih baik, termasuk teknologi hijau dan teknologi hibrid.
Beliau berkata yang kajian penyelidikan bukan sahaja akan memberi fokus kepada kejuruteraan tetapi juga aspek-aspek lain seperti pembangunan pekerja berkemahiran.
UTM telah dianugerahkan dengan Anugerah Harta Intelek Kebangsaan untuk kategori Pertubuhan pada tahun 2006, 2009 dan 2010.
Setakat ini, universiti itu telah menfailkan 1,870 paten bernilai RM1.8 bilion.-
- BERNAMA

No comments:

Post a Comment